Saturday, December 20, 2008

Wan Farid calon BN

KUALA TERENGGANU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil, 17 Januari depan. Pemilihan Wan Ahmad Farid, 46, diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penyokong BN di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Seri Iman, di sini, semalam.

Najib berkata, pemilihan Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Kuala Terengganu selama dua penggal mendapat restu Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. “Sesudah berbincang beberapa kali dengan PM, kami berdua mempunyai pendapat sama dalam menentukan calon. Kami berdua langsung tiada perbezaan pendapat. "Untuk calon P36, bagi pihak Presiden Umno, setelah mengambil kira pandangan dan segala-galanya, BN dengan ini menampilkan Datuk Wan (Ahmad) Farid sebagai calon pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ahmad Said; bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu. Najib berkata, pada pilihan raya kecil, calon adalah antara faktor penentu kemenangan sesebuah parti politik. Justeru, walaupun biasanya calon hanya diumum menjelang hari penamaan calon, kali ini BN membuat perubahan dengan pengumuman awal supaya calon mempunyai masa memperkenalkan diri kepada pengundi. "Kita juga berpendapat jika ada masalah sedikit sebanyak, kita ada masa memulih keadaan. Kita ada masa untuk hembus-hembus, bukan hulur (duit) jika ada masalah," katanya.
Najib berkata, pemilihan Wan Ahmad Farid diyakini mampu mengekalkan penguasaan BN di kerusi Parlimen itu kerana beliau turut mendapat sokongan pemimpin Umno lain serta pemimpin parti komponen termasuk dari Terengganu. Timbalan Presiden Umno itu berkata, pilihan raya kecil Kuala Terengganu besar maknanya kerana akan memberi kesan kepada Umno dan pandangan umum terhadap BN dan negara. "Justeru, rakyat di Kuala Terengganu mesti memberi mandat kepada kerajaan pada 17 Januari supaya BN dapat menebus maruahnya selepas (kalah) dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh (pada Ogos lalu). "Kemenangan ini juga sebagai tanda kita membalas jasa yang ditabur Allahyarham Razali yang banyak berjasa kepada Terengganu dan negara. Beliau menjadikan Kuala Terengganu sebagai lubuk ilmu dan memperkenalkan konsep generasi al-Quran dan pembelajaran J-Qaf umpamanya," katanya. Najib berkata, mandat kepada BN mesti diteruskan kerana Kerajaan Pusat sudah mengiktiraf hak kerajaan Terengganu apabila menyerahkan kembali royalti termasuk cek bernilai RM408 juta bagi membolehkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan terutama dalam bidang pelajaran dan menghapus kemiskinan. Katanya, selepas mendapat isyarat pengundi yang mahukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Mac lalu, kerajaan membuat pelbagai perubahan termasuk penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. "Insya-Allah selepas Mac nanti, saya akan meneruskan perubahan yang sudah direncanakan. Sebab itulah pada 17 Mac nanti rakyat perlu terus memberi mandat kepada BN," katanya. Menyeru supaya ahli Umno dan BN mengukuhkan perpaduan dan kesepakatan, Najib berkata, parti itu tidak pernah tewas menghadapi sebarang ujian getir sepanjang lebih 60 tahun kewujudannya kerana sentiasa berpegang kepada perjuangan yang berlandaskan kepentingan bersama. Justeru, Najib berkata Umno menghargai kesepakatan yang terbentuk dan rakan dalam BN termasuk 8,000 pengundi Cina dan 500 pengundi India dalam Parlimen Kuala Terengganu. "Dalam pertandingan satu undi pun penting dan apa yang boleh menjamin kemenangan ialah sekiranya kita kekal dalam satu ikatan yang tersimpul dan tidak boleh dirungkai dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi dalam pilihan raya matlamat kita hanya satu iaitu memastikan kemenangan BN," katanya.

1 comment:

Amira s said...

Hang tak dak dak gambag lain ka nak bubuh.Memang taik burung betoii....