Saturday, December 20, 2008

Wan Farid calon BN

KUALA TERENGGANU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil, 17 Januari depan. Pemilihan Wan Ahmad Farid, 46, diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penyokong BN di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Seri Iman, di sini, semalam.

Najib berkata, pemilihan Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Kuala Terengganu selama dua penggal mendapat restu Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. “Sesudah berbincang beberapa kali dengan PM, kami berdua mempunyai pendapat sama dalam menentukan calon. Kami berdua langsung tiada perbezaan pendapat. "Untuk calon P36, bagi pihak Presiden Umno, setelah mengambil kira pandangan dan segala-galanya, BN dengan ini menampilkan Datuk Wan (Ahmad) Farid sebagai calon pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ahmad Said; bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu. Najib berkata, pada pilihan raya kecil, calon adalah antara faktor penentu kemenangan sesebuah parti politik. Justeru, walaupun biasanya calon hanya diumum menjelang hari penamaan calon, kali ini BN membuat perubahan dengan pengumuman awal supaya calon mempunyai masa memperkenalkan diri kepada pengundi. "Kita juga berpendapat jika ada masalah sedikit sebanyak, kita ada masa memulih keadaan. Kita ada masa untuk hembus-hembus, bukan hulur (duit) jika ada masalah," katanya.
Najib berkata, pemilihan Wan Ahmad Farid diyakini mampu mengekalkan penguasaan BN di kerusi Parlimen itu kerana beliau turut mendapat sokongan pemimpin Umno lain serta pemimpin parti komponen termasuk dari Terengganu. Timbalan Presiden Umno itu berkata, pilihan raya kecil Kuala Terengganu besar maknanya kerana akan memberi kesan kepada Umno dan pandangan umum terhadap BN dan negara. "Justeru, rakyat di Kuala Terengganu mesti memberi mandat kepada kerajaan pada 17 Januari supaya BN dapat menebus maruahnya selepas (kalah) dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh (pada Ogos lalu). "Kemenangan ini juga sebagai tanda kita membalas jasa yang ditabur Allahyarham Razali yang banyak berjasa kepada Terengganu dan negara. Beliau menjadikan Kuala Terengganu sebagai lubuk ilmu dan memperkenalkan konsep generasi al-Quran dan pembelajaran J-Qaf umpamanya," katanya. Najib berkata, mandat kepada BN mesti diteruskan kerana Kerajaan Pusat sudah mengiktiraf hak kerajaan Terengganu apabila menyerahkan kembali royalti termasuk cek bernilai RM408 juta bagi membolehkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan terutama dalam bidang pelajaran dan menghapus kemiskinan. Katanya, selepas mendapat isyarat pengundi yang mahukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Mac lalu, kerajaan membuat pelbagai perubahan termasuk penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. "Insya-Allah selepas Mac nanti, saya akan meneruskan perubahan yang sudah direncanakan. Sebab itulah pada 17 Mac nanti rakyat perlu terus memberi mandat kepada BN," katanya. Menyeru supaya ahli Umno dan BN mengukuhkan perpaduan dan kesepakatan, Najib berkata, parti itu tidak pernah tewas menghadapi sebarang ujian getir sepanjang lebih 60 tahun kewujudannya kerana sentiasa berpegang kepada perjuangan yang berlandaskan kepentingan bersama. Justeru, Najib berkata Umno menghargai kesepakatan yang terbentuk dan rakan dalam BN termasuk 8,000 pengundi Cina dan 500 pengundi India dalam Parlimen Kuala Terengganu. "Dalam pertandingan satu undi pun penting dan apa yang boleh menjamin kemenangan ialah sekiranya kita kekal dalam satu ikatan yang tersimpul dan tidak boleh dirungkai dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi dalam pilihan raya matlamat kita hanya satu iaitu memastikan kemenangan BN," katanya.

Monday, December 1, 2008

Renungan

Malaysia memerlukan pemimpin yang berwibawa, berkarisma, berilmu, berakhlak dan luas pandangan.Menguasai ilmu islam dan realiti semasa. Pemimpin contoh melalui teladan. Tegas tetapi mendengar pandangan musuh

Saturday, November 29, 2008

kerajaan baru Pakatan Rakyat akan direalisasikan - Wan Azizah

SHAH ALAM, 29 Nov - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan dengan harapan rakyat dan kerjasama yang tinggi di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, usaha untuk membentuk kerajaan baru di peringkat pusat akan direalisasikan juga akhirnya.
Semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres KeADILan di Stadium Malawati Shah Alam ketika ini, Dr Wan Azizah menyatakan, rakyat terus berharap agar terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat yang sedang diusahakan.
Ujarnya, kerajaan Pakatan Rakyat akan terbentuk dengan 'izin Allah' dan kerajaan ini akan menjadi kerajaan yang prihatin, selamat dan bebas dari belenggu rasuah, campur tangan kehakiman dan dikenali wibawanya di seluruh dunia.
Presiden KeADILan itu juga berjanji jika terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat ini, semua manifesto yang diucapankan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12 lalu akan dilaksanakan.
Beliau menyebut, pengguna dan rakyat akan mendapat nikmat barangan pada harga yang rendah dan bersesuaian, harga perkhidmatan pada harga yang rendah dan pelbagai kebajikan lain yang kini dinafikan oleh kerajaan Umno/BN.
Beliau menyelar tindakan kerajaan BN yang tidak mahu mengubah dan membentangkan semula Belanjawan 2009 di Parlimen walaupun berlakunya kemelut ekonomi dan penurunan harga minyak.
Beliau menyebut antara kelemahan kerajaan BN hari ini ialah terjadinya aliran keluar FDI (pelaburan dari luar) yang semakin tinggi.
Selain itu Wan Azizah juga menyebut permasalah yang membelenggu dasar-dasar kerajaan yang ada hari ini antaranya, pengganguran, kelemut akhlak remaja, kemiskinan, kemelut ekonomi yang melampau dan permasalahan rakyat yang tidak pernah terlerai.
Beliau juga mengkritik sistem pendidikan hari ini yang sebenarnya perlu dikaji semula bagi meningkatkan taraf rakyat.
Dengan kemelut tersebut, selain kepinggiran warga luar bandar oleh kerajaan Umno/BN, beliau melihat bahawa rakyat kini mula mendampingi KeADILan terutamanya di Sarawak.
"Saya yakin dengan penambahan ahli KeADILan di Sarawak, pilihan raya negeri di peringkat Sarawak tidak lama lagi akan menjadi medan kepada KeADILan untuk membentuk kerajaan baru," katanya.

Justeru beliau mengharapkan usaha yang sedang dijalankan oleh Pakatan Rakyat hari ini akan membentuk satu kerajaan baru berdasarkan kepada 'Harapan Rakyat'.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat dalam membina gagasan pakatan ini sebelum dan selepas pilihan raya hingga kini ia mantap.

Thursday, November 27, 2008

Pas lebih sesuai teraju Selangor

SHAH ALAM - Pemimpin Pas dianggap lebih layak mengambil alih pemerintahan Selangor untuk mengembalikan keseimbangan politik dan kedudukan tidak menentu bangsa Melayu sepanjang lapan bulan di bawah pemerintahan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Noor berkata, selain melantik pemimpin Pas sebagai Menteri Besar baru, rakyat negeri itu wajar diberi peluang memilih semula pemimpin mereka menerusi pilihan raya negeri yang perlu diadakan segera. Menurutnya, cadangan itu rasional selepas merujuk beberapa insiden kontroversi yang berlaku di negeri berkenaan berikutan keputusan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (dari PKR) yang berterusan dipersoal rakyat. “Bantahan terhadap isu kuota Universiti Teknologi Mara (UiTM), kontroversi pelantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan terbaru ancaman mogok bogel oleh Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) antara bukti PKR gagal mentadbir Selangor dengan baik. “PKR gagal dan seharusnya tugas Menteri Besar untuk mentadbir negeri diserah kepada pemimpin parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat, dalam hal ini saya merasakan pemimpin Pas lebih layak memikul tanggungjawab itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam. Ezam berkata, tugas menentukan Menteri Besar itu mungkin juga boleh diserahkan kepada rakyat Selangor dengan mengadakan pilihan raya negeri secara segera sebelum keadaan menjadi lebih tidak stabil. Menurutnya, kewibawaan Abdul Khalid mentadbir negeri terus diragui sehingga timbul cadangan tempat beliau diganti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Antarabangsa, Azmin Ali. “Dakwaan yang tersebar dalam blog itu juga sebahagian petanda ada sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran Abdul Khalid hingga beliau perlu digantikan dengan orang lain. “Pada aspek lain, situasi ini seolah-olah menunjukkan pemimpin PKR hanya mementingkan kedudukan politik dan kuasa peribadi daripada memikirkan suasana tidak menentu dalam negeri yang ditadbir mereka,” katanya. Ezam berkata, keadaan itu perlu dipulihkan segera dan peranan pemimpin Pas Selangor yang berpengalaman diperlukan untuk menjayakan misi itu. “Meskipun Pas dari segi bilangan kerusi lebih kecil berbanding PKR dan DAP, mereka mempunyai pemimpin berpengalaman dan peranan yang sama besar dengan dua komponen Pakatan Rakyat itu,” katanya.

Saiful Bukhari hadir di pejabat Jawi hari ini

Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lepas, hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini. Beliau yang ditemani bapanya Azlan Mohd Lazim dan peguam Zamri Idrus tiba pada jam 11.05 pagi bagaimanapun enggan mengulas lanjut tujuan kehadirannya di pejabat itu dan hanya berkata terdapat sedikit perbincangan dengan pegawai di Unit Siasatan, Bahagian Penguatkuasa Jawi. “Saya tidak akan mengulas lanjut tujuan saya ke sini. Hanya perbincangan dengan pegawai dan ia tiada kaitan dengan isu qazaf,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan pejabat Jawi.

Saiful berkata beliau masih lagi bersemangat untuk menunggu hari perbicaraan walaupun berasa sedikit terkilan kerana kelewatan tarikh perbicaraan itu. “Tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk memberi keterangan dan menegakkan kebenaran pada hari perbicaraan itu nanti,” katanya. Menurut beliau, sepanjang dua bulan menyepikan diri bukan kerana takut tetapi untuk beliau berehat dan menenangkan fikiran di atas kekusutan yang berlaku ke atas dirinya.

“Apa yang saya ingin tegaskan di sini mengenai fitnah-fitnah yang telah dilemparkan kepada saya dan keluarga. “Saya menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dibuat ke atas diri saya di dalam laman-laman web serta cakap-cakap yang menyatakan kononnya saya kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan menghidap penyakit kelamin sehingga ke tahap saya telah meninggal dunia,” katanya ketika membacakan kenyataan kepada media. Beliau berkata semua itu adalah tidak benar dan berunsur fitnah yang direkacipta oleh pihak tertentu. Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful telah melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lepas.
Pada 9 Julai pula, Anwar telah mengadukan isu laporan polis Saiful kepada unit siasatan bahagian penguatkuasaan Jawi mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf (kesalahan jenayah syariah bagi tuduhan palsu). - Bernama

Tuesday, November 25, 2008

Guan Eng tidak peka Islam - Pemuda PAS

Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menganggap Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak menghormati Islam kerana meluluskan penganjuran ‘Konsert Jom Heboh’ di Stadium Batu Kawan, baru-baru ini. Menurut Mohamed Hafiz, tindakan Ketua Menteri itu seolah-olah tidak mengendahkan hukum Islam, pada hal sebelum ini beliau telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengikut sistem pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz. “Kebenaran Kerajaan Negeri yang meluluskan konsert tersebut nyata bercanggah dengan cara pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang bukan hanya menekankan soal kemungkaran malah menghapuskan sebarang aktiviti kemungkaran yang dilakukan oleh rakyat. “Jika hal ini berterusan, Dewan Pemuda Pas menganggap Ketua Menteri tidak peka mengenai Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya Ketua Menteri mendengar dan menerima pandangan serta bantahan daripada parti-parti komponen lain. “Islam bukan melarang umatnya berhibur tetapi biarlah hiburan yang tidak menggalakkan kepada kemungkaran dan mematuhi ajaran Islam. “Surat rasmi bantahan penganjuran tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Menteri, dan Majlis Perbandaran Sebarang Perai (MPSP) namun sehingga hari ini (semalam) tiada sebarang maklum balas daripada beliau. “Perkara ini amat mengecewakan kita kerana apa yang dijanjikan oleh Ketua Menteri pada awalnya berlainan dengan apa yang dilaksanakan pada hari ini,” katanya. Menurutnya, sehingga kini Ketua Menteri belum pernah mengadakan pertemuan atau perbincangan dengan Dewan Pemuda Pas berhubung keadaan semasa dan juga kepentingan rakyat. “Sebagai Ketua Menteri, beliau sepatutnya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan parti-parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat,” katanya. Mohamed Hafiz menganggap Kerajaan Negeri Pulau Pinang membelakangi pandangan parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat

Bekas Perdana Menteri sokong larangan Majlis Fatwa

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menggesa pihak tertentu supaya tidak menjadikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang melarang umat Islam daripada mengamalkan yoga sebagai isu agama.“Jika mereka (Majlis Fatwa Kebangsaan) percaya ianya salah, jadi ianya salah. Malanglah jika orang lain fikir keputusan itu mencela agama mereka. Ia sama lah seperti kita kata orang Islam tidak boleh makan babi, ia bukan menghina orang Cina. Dan ia adalah sama bila orang Islam tidak boleh melakukan yoga. Ia bukan kerana mereka menghina orang Hindu.“Mereka tidak patut buat begitu. Sama ada orang Melayu ikut atau tidak, itu hal mereka, orang lain tidak boleh jadikannya sebagai isu agama. Seperti perkara lain yang dilarang di dalam Islam, ia bukan menghina orang lain. Tetapi ada orang yang mahu menjadikannya sebagai isu. Saya kesal. Saya sendiri tidak peduli jika anda berdiri di atas kepala atau berdiri di atas kaki anda. Ia bukanlah semata-mata jika anda mengamalkan yoga, anda tiba-tiba menjadi orang bukan Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Antarabangsa Pertama 2008 mengenai Bahasa dan Linguistik anjuran Universiti Islam Antarabangsa di sini, semalam.Minggu lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan melarang umat Islam mengamalkan yoga kerana ia bertentangan dengan agama.Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk mendedahkan nama-nama pemimpin UMNO yang terbabit dalam politik wang menjelang perhimpunan parti Mac tahun depan.“Saya perlu memastikan sebelum meletakkannya (nama-nama pemimpin) dalam senarai itu. Jika saya ada bukti dan UMNO tidak mengambil sebarang tindakan saya akan letakkan (nama-nama itu) dalam senarai. Saya memberi tempoh dua minggu kepada Jawatankuasa Disiplin (UMNO) dan berharap mereka akan mengambil tindakan dalam tempoh itu,” katanya.Ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa politik wang juga berlaku semasa Dr Mahathir menjadi Presiden UMNO, Dr Mahathir berkata: "Rasuah berlaku dalam zaman saya dan saya sentiasa mengaku mengenai perkara itu tetapi bukan dalam skala yang anda lihat sekarang.”Sementara itu, dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, kebimbangan sesetengah pihak berhubung pembelajaran dan penggunaan Bahasa Inggeris boleh menghakis bahasa Malaysia adalah tidak berasas.Dr Mahathir berkata, beliau dikritik oleh nasionalis kerana mahukan kerajaan meneruskan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik tetapi bahasa Inggeris adalah satu-satunya bahasa di mana rakyat Malaysia boleh menimba ilmu dalam kedua-dua subjek itu.“Sebelum saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri saya perkenal sistem itu kerana saya berasa ia adalah perlu bagi kita untuk menimba ilmu pengetahuan. Jika anda ingin terjemah semua kerja Sains dan Matematik ke dalam bahasa Malaysia, ia akan mengambil masa yang panjang dan kita akan ketinggalan. Tetapi sejak kebelakangan ini, ada perdebatan mengenainya bahawa kita perlu kembali kepada sistem lama menggunakan bahasa Malaysia untuk mengajar dan belajar Sains dan Matematik.“Kementerian Pelajaran akan memutuskan perkara itu tidak lama lagi. Ada kebaikan dan keburukan mengenainya dan saya agak bimbang mengenainya. Orang kita patut tahu bagaimana untuk membaca, menulis dan bercakap bahasa Kebangsaan tetapi pada masa yang sama untuk menimba ilmu pengetahuan mereka patut menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.Katanya, jumlah ilmu pengetahuan baru adalah 'pantas dan hebat' dan rakyat Malaysia perlu merebut ilmu pengetahuan yang kebanyakannya di dalam bahasa Inggeris.“Saya harap dapat menghalang kerajaan daripada berpatah balik menggunakan bahasa Malaysia untuk mengajar Matematik dan Sains tetapi saya tidak lagi memegang kuasa. Saya terpaksa menerima apa juga yang diputuskan walaupun ia mungkin tidak baik untuk negara ini,” katanya.Katanya, kekurangan guru untuk mengajar kedua-dua subjek itu di dalam bahasa Inggeris tidak boleh dijadikan alasan kerana ia boleh digantikan dengan perisian komputer. -BERNAMA

Bantahan Projek Ladang Babi Moden Di Kedah

Perhimpunan secara aman ini disertai Pergerakan Pemuda UMNO Sungai Petani dan Baling serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat Melayu sekitar daerah Kuala Muda.Perhimpunan di Dataran Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) itu antara lain meminta kerajaan Kedah melupakan hasrat membuka ladang babi itu di mana- mana tempat di negeri ini kerana ia tidak sesuai diternak dalam lingkungan masyarakat yang rata- ratanya beragama Islam.Antara NGO yang turut serta ialah Persatuan Belia 4B Negeri Kedah, Yayasan Sungai Petani dan Kelab Rakan Muda Sungai Petani.


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd. Khairul Azhar Abdullah yang juga jurucakap dalam perhimpunan itu membidas tindakan Pas yang beria mahu mewujudkan projek ladang babi di Kedah dan ia jelas tidak menghormati rakyat khususnya umat Islam. Antara kata-kata beliau :-

(1) Kerajaan negeri seharusnya mengambil kira sensitiviti masyarakat terutama orang Melayu sebelum membuat sebarang kelulusan mengenainya.


(2) Walaupun kerajaan negeri semalam mengumumkan ladang babi moden secara berpusat tak akan dibuka di Bukit Selambau, namun majoriti orang Melayu tetap tolak.


(3) "Tak kira sama ada di Bukit Selambau mahupun tempat lain di Kedah, kita tetap bantah,”


(4) Pihaknya tidak mahu Kedah, negeri yang majoriti rakyatnya beragama Islam digelar sebagai antara negeri utama penternakan babi negara.

DISKAUN TOL 10 PERATUS

Pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Elite dari 12 tengah malam hingga tujuh pagi akan menerima diskaun tol 10 peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari tahun depan. Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed berkata, selain itu, diskaun tambahan 10 peratus juga akan turut diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Thaipusam dan Krismas dalam tempoh dan waktu yang sama.