Tuesday, February 3, 2009

TIADA PILIHAN RAYA

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang dan Changkat Jering di Perak, kekal disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sedia ada, manakala kedua-dua Adun itu pula mengisytiharkan mereka kini wakil rakyat Bebas. Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) menganggap mereka secara automatik bukan lagi mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta dipecat sebagai Exco negeri selepas Speaker DUN Perak, V Sivakumar, menghantar surat secara rasmi memaklumkan SPR mengenai kekosongan dua kerusi itu.


Jamaluddin yang dihubungi selepas SPR memutuskan tidak akan mengadakan pilihan raya kecil di dua DUN berkenaan, berkata beliau akan kekal sebagai wakil rakyat Bebas hingga keadaan politik di Perak kembali tenang. "Surat (peletakan jawatannya) yang diserahkan kepada Speaker menyebabkan saya sekarang bukan lagi seorang Exco. Sekarang saya jadi (wakil rakyat) Bebas," katanya. Osman yang dihubungi pula berkata, beliau belum memutuskan untuk menyertai parti lain selepas ini.
Ahad lalu, Sivakumar mengumumkan menerima surat peletakan jawatan Jamaluddin dan Osman, beberapa hari selepas dua Adun dari PKR itu dilaporkan 'hilang' serta disebut-sebut akan menyertai Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun Jamaluddin dan Osman menafikan mereka meletakkan jawatan, manakala surat yang diterima Sivakumar dikatakan ditandatangani pada 8 Mac tahun lalu. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas ahli panel suruhanjaya itu di sini semalam, berkata SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat peletakan jawatan kedua-dua Adun itu yang dihantar oleh Speaker DUN Perak. "Ini kerana Jamaluddin dan Osman juga secara sedar menyatakan surat berkenaan tidak berkuat kuasa.
Selepas meneliti secara mendalam dan rapi dari pelbagai sudut perundangan, SPR memutuskan tidak dapat menggunakan kuasa di bawah Perkara 36 (5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan. "SPR memutuskan dua kerusi DUN itu masih disandang oleh Jamaluddin dan Osman yang memenanginya pada pilihan raya umum ke-12," katanya yang turut menunjukkan surat Speaker DUN Perak kepada SPR dan dikepilkan bersama surat dua Adun berkenaan. Abdul Aziz berkata, surat itu menimbulkan keraguan kerana kandungan satu daripadanya mempunyai percanggahan. "Satu surat daripada orang (Adun) yang sama memaklumkan beliau meletak jawatan dan satu surat lain memaklumkan beliau tidak meletak jawatan. Surat-surat ini ditimbang dengan sama rata," katanya. Beliau berkata, SPR menerima makluman rasmi daripada Speaker DUN Perak pada Isnin lalu menyatakan wujud kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang berikutan penyerahan surat peletakan jawatan Adun berkenaan. "Selain itu, SPR menerima surat daripada Yang Berhormat Mohd Osman Mohd Jailu bagi DUN Changkat Jering dan Yang Berhormat Jamaluddin Mohd Radzi bagi DUN Behrang, memaklumkan surat peletakan jawatan terbabit tidak berkuat kuasa. "SPR menerima kedua-dua surat berkenaan pada hari yang sama, iaitu 2 Februari 2009," katanya. Abdul Aziz berkata, kandungan surat itu juga tidak menyatakan sama ada Adun berkenaan akan menyertai Bebas. SPR tidak perlu memanggil kedua-dua Adun berkenaan untuk memberi penjelasan mengenai isu berkenaan bagaimanapun katanya, Speaker DUN Perak boleh mencabar kesahihan surat berkenaan di mahkamah untuk memutuskannya.
Beliau berkata, SPR mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung perkembangan isu itu selepas ini. Dengan perkembangan terbaru itu, kerajaan Pakatan Rakyat Perak kini mempunyai 30 Adun termasuk Adun Bota, Nasarudin Hashim yang menyertai PKR, baru-baru ini, manakala BN dianggotai 27 Adun.

2 comments:

Anonymous said...

Salam,

Tuan/puan dipelawa untuk buat komen dalam blogs atau memberi idea yang berguna,walaupun fahaman berbeza,saya tidak kisah.

http://penpusaka.blogspot.com

DukeOfUMNO said...

Bloggers di wilayah utara akan mengadakan sesi perjumpaan kali ke 2 dalam masa yang terdekat. Ramai bloggers utara yang telah mengesahkan kehadirannya seperti "Depakata", "RamliDAP" dan sebagainya. Butirannya adalah seperti yang berikut:

Tarikh : 4hb Julai 2009 (sabtu).
Lokasi : Sg. Petani Inn.
Masa : 8.30 malam.

Kepada sesiapa yg berminat sila "book kerusi" anda di bloggersutaraunion@yahoo.com sebelum 3hb Julai 2009. Terima kasih.