Tuesday, February 3, 2009

TIADA PILIHAN RAYA

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang dan Changkat Jering di Perak, kekal disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sedia ada, manakala kedua-dua Adun itu pula mengisytiharkan mereka kini wakil rakyat Bebas. Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) menganggap mereka secara automatik bukan lagi mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta dipecat sebagai Exco negeri selepas Speaker DUN Perak, V Sivakumar, menghantar surat secara rasmi memaklumkan SPR mengenai kekosongan dua kerusi itu.


Jamaluddin yang dihubungi selepas SPR memutuskan tidak akan mengadakan pilihan raya kecil di dua DUN berkenaan, berkata beliau akan kekal sebagai wakil rakyat Bebas hingga keadaan politik di Perak kembali tenang. "Surat (peletakan jawatannya) yang diserahkan kepada Speaker menyebabkan saya sekarang bukan lagi seorang Exco. Sekarang saya jadi (wakil rakyat) Bebas," katanya. Osman yang dihubungi pula berkata, beliau belum memutuskan untuk menyertai parti lain selepas ini.
Ahad lalu, Sivakumar mengumumkan menerima surat peletakan jawatan Jamaluddin dan Osman, beberapa hari selepas dua Adun dari PKR itu dilaporkan 'hilang' serta disebut-sebut akan menyertai Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun Jamaluddin dan Osman menafikan mereka meletakkan jawatan, manakala surat yang diterima Sivakumar dikatakan ditandatangani pada 8 Mac tahun lalu. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas ahli panel suruhanjaya itu di sini semalam, berkata SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat peletakan jawatan kedua-dua Adun itu yang dihantar oleh Speaker DUN Perak. "Ini kerana Jamaluddin dan Osman juga secara sedar menyatakan surat berkenaan tidak berkuat kuasa.
Selepas meneliti secara mendalam dan rapi dari pelbagai sudut perundangan, SPR memutuskan tidak dapat menggunakan kuasa di bawah Perkara 36 (5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan. "SPR memutuskan dua kerusi DUN itu masih disandang oleh Jamaluddin dan Osman yang memenanginya pada pilihan raya umum ke-12," katanya yang turut menunjukkan surat Speaker DUN Perak kepada SPR dan dikepilkan bersama surat dua Adun berkenaan. Abdul Aziz berkata, surat itu menimbulkan keraguan kerana kandungan satu daripadanya mempunyai percanggahan. "Satu surat daripada orang (Adun) yang sama memaklumkan beliau meletak jawatan dan satu surat lain memaklumkan beliau tidak meletak jawatan. Surat-surat ini ditimbang dengan sama rata," katanya. Beliau berkata, SPR menerima makluman rasmi daripada Speaker DUN Perak pada Isnin lalu menyatakan wujud kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang berikutan penyerahan surat peletakan jawatan Adun berkenaan. "Selain itu, SPR menerima surat daripada Yang Berhormat Mohd Osman Mohd Jailu bagi DUN Changkat Jering dan Yang Berhormat Jamaluddin Mohd Radzi bagi DUN Behrang, memaklumkan surat peletakan jawatan terbabit tidak berkuat kuasa. "SPR menerima kedua-dua surat berkenaan pada hari yang sama, iaitu 2 Februari 2009," katanya. Abdul Aziz berkata, kandungan surat itu juga tidak menyatakan sama ada Adun berkenaan akan menyertai Bebas. SPR tidak perlu memanggil kedua-dua Adun berkenaan untuk memberi penjelasan mengenai isu berkenaan bagaimanapun katanya, Speaker DUN Perak boleh mencabar kesahihan surat berkenaan di mahkamah untuk memutuskannya.
Beliau berkata, SPR mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung perkembangan isu itu selepas ini. Dengan perkembangan terbaru itu, kerajaan Pakatan Rakyat Perak kini mempunyai 30 Adun termasuk Adun Bota, Nasarudin Hashim yang menyertai PKR, baru-baru ini, manakala BN dianggotai 27 Adun.

Saturday, December 20, 2008

Wan Farid calon BN

KUALA TERENGGANU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil, 17 Januari depan. Pemilihan Wan Ahmad Farid, 46, diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penyokong BN di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Seri Iman, di sini, semalam.

Najib berkata, pemilihan Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Kuala Terengganu selama dua penggal mendapat restu Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. “Sesudah berbincang beberapa kali dengan PM, kami berdua mempunyai pendapat sama dalam menentukan calon. Kami berdua langsung tiada perbezaan pendapat. "Untuk calon P36, bagi pihak Presiden Umno, setelah mengambil kira pandangan dan segala-galanya, BN dengan ini menampilkan Datuk Wan (Ahmad) Farid sebagai calon pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ahmad Said; bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu. Najib berkata, pada pilihan raya kecil, calon adalah antara faktor penentu kemenangan sesebuah parti politik. Justeru, walaupun biasanya calon hanya diumum menjelang hari penamaan calon, kali ini BN membuat perubahan dengan pengumuman awal supaya calon mempunyai masa memperkenalkan diri kepada pengundi. "Kita juga berpendapat jika ada masalah sedikit sebanyak, kita ada masa memulih keadaan. Kita ada masa untuk hembus-hembus, bukan hulur (duit) jika ada masalah," katanya.
Najib berkata, pemilihan Wan Ahmad Farid diyakini mampu mengekalkan penguasaan BN di kerusi Parlimen itu kerana beliau turut mendapat sokongan pemimpin Umno lain serta pemimpin parti komponen termasuk dari Terengganu. Timbalan Presiden Umno itu berkata, pilihan raya kecil Kuala Terengganu besar maknanya kerana akan memberi kesan kepada Umno dan pandangan umum terhadap BN dan negara. "Justeru, rakyat di Kuala Terengganu mesti memberi mandat kepada kerajaan pada 17 Januari supaya BN dapat menebus maruahnya selepas (kalah) dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh (pada Ogos lalu). "Kemenangan ini juga sebagai tanda kita membalas jasa yang ditabur Allahyarham Razali yang banyak berjasa kepada Terengganu dan negara. Beliau menjadikan Kuala Terengganu sebagai lubuk ilmu dan memperkenalkan konsep generasi al-Quran dan pembelajaran J-Qaf umpamanya," katanya. Najib berkata, mandat kepada BN mesti diteruskan kerana Kerajaan Pusat sudah mengiktiraf hak kerajaan Terengganu apabila menyerahkan kembali royalti termasuk cek bernilai RM408 juta bagi membolehkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan terutama dalam bidang pelajaran dan menghapus kemiskinan. Katanya, selepas mendapat isyarat pengundi yang mahukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Mac lalu, kerajaan membuat pelbagai perubahan termasuk penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. "Insya-Allah selepas Mac nanti, saya akan meneruskan perubahan yang sudah direncanakan. Sebab itulah pada 17 Mac nanti rakyat perlu terus memberi mandat kepada BN," katanya. Menyeru supaya ahli Umno dan BN mengukuhkan perpaduan dan kesepakatan, Najib berkata, parti itu tidak pernah tewas menghadapi sebarang ujian getir sepanjang lebih 60 tahun kewujudannya kerana sentiasa berpegang kepada perjuangan yang berlandaskan kepentingan bersama. Justeru, Najib berkata Umno menghargai kesepakatan yang terbentuk dan rakan dalam BN termasuk 8,000 pengundi Cina dan 500 pengundi India dalam Parlimen Kuala Terengganu. "Dalam pertandingan satu undi pun penting dan apa yang boleh menjamin kemenangan ialah sekiranya kita kekal dalam satu ikatan yang tersimpul dan tidak boleh dirungkai dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi dalam pilihan raya matlamat kita hanya satu iaitu memastikan kemenangan BN," katanya.

Monday, December 1, 2008

Renungan

Malaysia memerlukan pemimpin yang berwibawa, berkarisma, berilmu, berakhlak dan luas pandangan.Menguasai ilmu islam dan realiti semasa. Pemimpin contoh melalui teladan. Tegas tetapi mendengar pandangan musuh

Saturday, November 29, 2008

kerajaan baru Pakatan Rakyat akan direalisasikan - Wan Azizah

SHAH ALAM, 29 Nov - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan dengan harapan rakyat dan kerjasama yang tinggi di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, usaha untuk membentuk kerajaan baru di peringkat pusat akan direalisasikan juga akhirnya.
Semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres KeADILan di Stadium Malawati Shah Alam ketika ini, Dr Wan Azizah menyatakan, rakyat terus berharap agar terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat yang sedang diusahakan.
Ujarnya, kerajaan Pakatan Rakyat akan terbentuk dengan 'izin Allah' dan kerajaan ini akan menjadi kerajaan yang prihatin, selamat dan bebas dari belenggu rasuah, campur tangan kehakiman dan dikenali wibawanya di seluruh dunia.
Presiden KeADILan itu juga berjanji jika terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat ini, semua manifesto yang diucapankan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12 lalu akan dilaksanakan.
Beliau menyebut, pengguna dan rakyat akan mendapat nikmat barangan pada harga yang rendah dan bersesuaian, harga perkhidmatan pada harga yang rendah dan pelbagai kebajikan lain yang kini dinafikan oleh kerajaan Umno/BN.
Beliau menyelar tindakan kerajaan BN yang tidak mahu mengubah dan membentangkan semula Belanjawan 2009 di Parlimen walaupun berlakunya kemelut ekonomi dan penurunan harga minyak.
Beliau menyebut antara kelemahan kerajaan BN hari ini ialah terjadinya aliran keluar FDI (pelaburan dari luar) yang semakin tinggi.
Selain itu Wan Azizah juga menyebut permasalah yang membelenggu dasar-dasar kerajaan yang ada hari ini antaranya, pengganguran, kelemut akhlak remaja, kemiskinan, kemelut ekonomi yang melampau dan permasalahan rakyat yang tidak pernah terlerai.
Beliau juga mengkritik sistem pendidikan hari ini yang sebenarnya perlu dikaji semula bagi meningkatkan taraf rakyat.
Dengan kemelut tersebut, selain kepinggiran warga luar bandar oleh kerajaan Umno/BN, beliau melihat bahawa rakyat kini mula mendampingi KeADILan terutamanya di Sarawak.
"Saya yakin dengan penambahan ahli KeADILan di Sarawak, pilihan raya negeri di peringkat Sarawak tidak lama lagi akan menjadi medan kepada KeADILan untuk membentuk kerajaan baru," katanya.

Justeru beliau mengharapkan usaha yang sedang dijalankan oleh Pakatan Rakyat hari ini akan membentuk satu kerajaan baru berdasarkan kepada 'Harapan Rakyat'.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat dalam membina gagasan pakatan ini sebelum dan selepas pilihan raya hingga kini ia mantap.

Thursday, November 27, 2008

Pas lebih sesuai teraju Selangor

SHAH ALAM - Pemimpin Pas dianggap lebih layak mengambil alih pemerintahan Selangor untuk mengembalikan keseimbangan politik dan kedudukan tidak menentu bangsa Melayu sepanjang lapan bulan di bawah pemerintahan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Noor berkata, selain melantik pemimpin Pas sebagai Menteri Besar baru, rakyat negeri itu wajar diberi peluang memilih semula pemimpin mereka menerusi pilihan raya negeri yang perlu diadakan segera. Menurutnya, cadangan itu rasional selepas merujuk beberapa insiden kontroversi yang berlaku di negeri berkenaan berikutan keputusan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (dari PKR) yang berterusan dipersoal rakyat. “Bantahan terhadap isu kuota Universiti Teknologi Mara (UiTM), kontroversi pelantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan terbaru ancaman mogok bogel oleh Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) antara bukti PKR gagal mentadbir Selangor dengan baik. “PKR gagal dan seharusnya tugas Menteri Besar untuk mentadbir negeri diserah kepada pemimpin parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat, dalam hal ini saya merasakan pemimpin Pas lebih layak memikul tanggungjawab itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam. Ezam berkata, tugas menentukan Menteri Besar itu mungkin juga boleh diserahkan kepada rakyat Selangor dengan mengadakan pilihan raya negeri secara segera sebelum keadaan menjadi lebih tidak stabil. Menurutnya, kewibawaan Abdul Khalid mentadbir negeri terus diragui sehingga timbul cadangan tempat beliau diganti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Antarabangsa, Azmin Ali. “Dakwaan yang tersebar dalam blog itu juga sebahagian petanda ada sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran Abdul Khalid hingga beliau perlu digantikan dengan orang lain. “Pada aspek lain, situasi ini seolah-olah menunjukkan pemimpin PKR hanya mementingkan kedudukan politik dan kuasa peribadi daripada memikirkan suasana tidak menentu dalam negeri yang ditadbir mereka,” katanya. Ezam berkata, keadaan itu perlu dipulihkan segera dan peranan pemimpin Pas Selangor yang berpengalaman diperlukan untuk menjayakan misi itu. “Meskipun Pas dari segi bilangan kerusi lebih kecil berbanding PKR dan DAP, mereka mempunyai pemimpin berpengalaman dan peranan yang sama besar dengan dua komponen Pakatan Rakyat itu,” katanya.

Saiful Bukhari hadir di pejabat Jawi hari ini

Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lepas, hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini. Beliau yang ditemani bapanya Azlan Mohd Lazim dan peguam Zamri Idrus tiba pada jam 11.05 pagi bagaimanapun enggan mengulas lanjut tujuan kehadirannya di pejabat itu dan hanya berkata terdapat sedikit perbincangan dengan pegawai di Unit Siasatan, Bahagian Penguatkuasa Jawi. “Saya tidak akan mengulas lanjut tujuan saya ke sini. Hanya perbincangan dengan pegawai dan ia tiada kaitan dengan isu qazaf,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan pejabat Jawi.

Saiful berkata beliau masih lagi bersemangat untuk menunggu hari perbicaraan walaupun berasa sedikit terkilan kerana kelewatan tarikh perbicaraan itu. “Tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk memberi keterangan dan menegakkan kebenaran pada hari perbicaraan itu nanti,” katanya. Menurut beliau, sepanjang dua bulan menyepikan diri bukan kerana takut tetapi untuk beliau berehat dan menenangkan fikiran di atas kekusutan yang berlaku ke atas dirinya.

“Apa yang saya ingin tegaskan di sini mengenai fitnah-fitnah yang telah dilemparkan kepada saya dan keluarga. “Saya menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dibuat ke atas diri saya di dalam laman-laman web serta cakap-cakap yang menyatakan kononnya saya kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan menghidap penyakit kelamin sehingga ke tahap saya telah meninggal dunia,” katanya ketika membacakan kenyataan kepada media. Beliau berkata semua itu adalah tidak benar dan berunsur fitnah yang direkacipta oleh pihak tertentu. Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful telah melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lepas.
Pada 9 Julai pula, Anwar telah mengadukan isu laporan polis Saiful kepada unit siasatan bahagian penguatkuasaan Jawi mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf (kesalahan jenayah syariah bagi tuduhan palsu). - Bernama

Tuesday, November 25, 2008

Guan Eng tidak peka Islam - Pemuda PAS

Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menganggap Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak menghormati Islam kerana meluluskan penganjuran ‘Konsert Jom Heboh’ di Stadium Batu Kawan, baru-baru ini. Menurut Mohamed Hafiz, tindakan Ketua Menteri itu seolah-olah tidak mengendahkan hukum Islam, pada hal sebelum ini beliau telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengikut sistem pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz. “Kebenaran Kerajaan Negeri yang meluluskan konsert tersebut nyata bercanggah dengan cara pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz yang bukan hanya menekankan soal kemungkaran malah menghapuskan sebarang aktiviti kemungkaran yang dilakukan oleh rakyat. “Jika hal ini berterusan, Dewan Pemuda Pas menganggap Ketua Menteri tidak peka mengenai Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya Ketua Menteri mendengar dan menerima pandangan serta bantahan daripada parti-parti komponen lain. “Islam bukan melarang umatnya berhibur tetapi biarlah hiburan yang tidak menggalakkan kepada kemungkaran dan mematuhi ajaran Islam. “Surat rasmi bantahan penganjuran tersebut telah dikemukakan kepada Ketua Menteri, dan Majlis Perbandaran Sebarang Perai (MPSP) namun sehingga hari ini (semalam) tiada sebarang maklum balas daripada beliau. “Perkara ini amat mengecewakan kita kerana apa yang dijanjikan oleh Ketua Menteri pada awalnya berlainan dengan apa yang dilaksanakan pada hari ini,” katanya. Menurutnya, sehingga kini Ketua Menteri belum pernah mengadakan pertemuan atau perbincangan dengan Dewan Pemuda Pas berhubung keadaan semasa dan juga kepentingan rakyat. “Sebagai Ketua Menteri, beliau sepatutnya mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan parti-parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat,” katanya. Mohamed Hafiz menganggap Kerajaan Negeri Pulau Pinang membelakangi pandangan parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat