Thursday, November 27, 2008

Pas lebih sesuai teraju Selangor

SHAH ALAM - Pemimpin Pas dianggap lebih layak mengambil alih pemerintahan Selangor untuk mengembalikan keseimbangan politik dan kedudukan tidak menentu bangsa Melayu sepanjang lapan bulan di bawah pemerintahan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Noor berkata, selain melantik pemimpin Pas sebagai Menteri Besar baru, rakyat negeri itu wajar diberi peluang memilih semula pemimpin mereka menerusi pilihan raya negeri yang perlu diadakan segera. Menurutnya, cadangan itu rasional selepas merujuk beberapa insiden kontroversi yang berlaku di negeri berkenaan berikutan keputusan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (dari PKR) yang berterusan dipersoal rakyat. “Bantahan terhadap isu kuota Universiti Teknologi Mara (UiTM), kontroversi pelantikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan terbaru ancaman mogok bogel oleh Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) antara bukti PKR gagal mentadbir Selangor dengan baik. “PKR gagal dan seharusnya tugas Menteri Besar untuk mentadbir negeri diserah kepada pemimpin parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat, dalam hal ini saya merasakan pemimpin Pas lebih layak memikul tanggungjawab itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam. Ezam berkata, tugas menentukan Menteri Besar itu mungkin juga boleh diserahkan kepada rakyat Selangor dengan mengadakan pilihan raya negeri secara segera sebelum keadaan menjadi lebih tidak stabil. Menurutnya, kewibawaan Abdul Khalid mentadbir negeri terus diragui sehingga timbul cadangan tempat beliau diganti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Antarabangsa, Azmin Ali. “Dakwaan yang tersebar dalam blog itu juga sebahagian petanda ada sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran Abdul Khalid hingga beliau perlu digantikan dengan orang lain. “Pada aspek lain, situasi ini seolah-olah menunjukkan pemimpin PKR hanya mementingkan kedudukan politik dan kuasa peribadi daripada memikirkan suasana tidak menentu dalam negeri yang ditadbir mereka,” katanya. Ezam berkata, keadaan itu perlu dipulihkan segera dan peranan pemimpin Pas Selangor yang berpengalaman diperlukan untuk menjayakan misi itu. “Meskipun Pas dari segi bilangan kerusi lebih kecil berbanding PKR dan DAP, mereka mempunyai pemimpin berpengalaman dan peranan yang sama besar dengan dua komponen Pakatan Rakyat itu,” katanya.

No comments: