Thursday, November 27, 2008

Saiful Bukhari hadir di pejabat Jawi hari ini

Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lepas, hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini. Beliau yang ditemani bapanya Azlan Mohd Lazim dan peguam Zamri Idrus tiba pada jam 11.05 pagi bagaimanapun enggan mengulas lanjut tujuan kehadirannya di pejabat itu dan hanya berkata terdapat sedikit perbincangan dengan pegawai di Unit Siasatan, Bahagian Penguatkuasa Jawi. “Saya tidak akan mengulas lanjut tujuan saya ke sini. Hanya perbincangan dengan pegawai dan ia tiada kaitan dengan isu qazaf,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan pejabat Jawi.

Saiful berkata beliau masih lagi bersemangat untuk menunggu hari perbicaraan walaupun berasa sedikit terkilan kerana kelewatan tarikh perbicaraan itu. “Tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk memberi keterangan dan menegakkan kebenaran pada hari perbicaraan itu nanti,” katanya. Menurut beliau, sepanjang dua bulan menyepikan diri bukan kerana takut tetapi untuk beliau berehat dan menenangkan fikiran di atas kekusutan yang berlaku ke atas dirinya.

“Apa yang saya ingin tegaskan di sini mengenai fitnah-fitnah yang telah dilemparkan kepada saya dan keluarga. “Saya menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dibuat ke atas diri saya di dalam laman-laman web serta cakap-cakap yang menyatakan kononnya saya kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan menghidap penyakit kelamin sehingga ke tahap saya telah meninggal dunia,” katanya ketika membacakan kenyataan kepada media. Beliau berkata semua itu adalah tidak benar dan berunsur fitnah yang direkacipta oleh pihak tertentu. Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful telah melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lepas.
Pada 9 Julai pula, Anwar telah mengadukan isu laporan polis Saiful kepada unit siasatan bahagian penguatkuasaan Jawi mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf (kesalahan jenayah syariah bagi tuduhan palsu). - Bernama

No comments: