Saturday, November 29, 2008

kerajaan baru Pakatan Rakyat akan direalisasikan - Wan Azizah

SHAH ALAM, 29 Nov - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan dengan harapan rakyat dan kerjasama yang tinggi di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, usaha untuk membentuk kerajaan baru di peringkat pusat akan direalisasikan juga akhirnya.
Semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres KeADILan di Stadium Malawati Shah Alam ketika ini, Dr Wan Azizah menyatakan, rakyat terus berharap agar terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat yang sedang diusahakan.
Ujarnya, kerajaan Pakatan Rakyat akan terbentuk dengan 'izin Allah' dan kerajaan ini akan menjadi kerajaan yang prihatin, selamat dan bebas dari belenggu rasuah, campur tangan kehakiman dan dikenali wibawanya di seluruh dunia.
Presiden KeADILan itu juga berjanji jika terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat ini, semua manifesto yang diucapankan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12 lalu akan dilaksanakan.
Beliau menyebut, pengguna dan rakyat akan mendapat nikmat barangan pada harga yang rendah dan bersesuaian, harga perkhidmatan pada harga yang rendah dan pelbagai kebajikan lain yang kini dinafikan oleh kerajaan Umno/BN.
Beliau menyelar tindakan kerajaan BN yang tidak mahu mengubah dan membentangkan semula Belanjawan 2009 di Parlimen walaupun berlakunya kemelut ekonomi dan penurunan harga minyak.
Beliau menyebut antara kelemahan kerajaan BN hari ini ialah terjadinya aliran keluar FDI (pelaburan dari luar) yang semakin tinggi.
Selain itu Wan Azizah juga menyebut permasalah yang membelenggu dasar-dasar kerajaan yang ada hari ini antaranya, pengganguran, kelemut akhlak remaja, kemiskinan, kemelut ekonomi yang melampau dan permasalahan rakyat yang tidak pernah terlerai.
Beliau juga mengkritik sistem pendidikan hari ini yang sebenarnya perlu dikaji semula bagi meningkatkan taraf rakyat.
Dengan kemelut tersebut, selain kepinggiran warga luar bandar oleh kerajaan Umno/BN, beliau melihat bahawa rakyat kini mula mendampingi KeADILan terutamanya di Sarawak.
"Saya yakin dengan penambahan ahli KeADILan di Sarawak, pilihan raya negeri di peringkat Sarawak tidak lama lagi akan menjadi medan kepada KeADILan untuk membentuk kerajaan baru," katanya.

Justeru beliau mengharapkan usaha yang sedang dijalankan oleh Pakatan Rakyat hari ini akan membentuk satu kerajaan baru berdasarkan kepada 'Harapan Rakyat'.
Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat dalam membina gagasan pakatan ini sebelum dan selepas pilihan raya hingga kini ia mantap.

1 comment:

petrokoxi said...

老板你好!现在他们说容易了对不对,好的再见!